Dua beranak maut: Sampel darah pemandu diambil

in Berita Semasa by

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Juna

BAGAN SERAI – Polis sudah mengambil sampel darah pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan dua beranak di Tebuk Rimba, Simpang 4 Semanggol pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, ujian akan dilakukan bagi mendapatkan kesahihan lelaki berusia 28 tahun itu tidak mabuk ketika kejadian.

“Dari keterangan pegawai penyiasat, tidak nampak gejala mabuk, namun darah pemandu telah diambil untuk analisa kimia bagi memastikan ada atau tidak kehadiran alkohol,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian, pemandu terbabit yang bekerja sebagai doktor di Hospital Taiping dalam perjalanan ke tempat kerja.

Katanya, tiba di tempat kejadian, kereta jenis Toyota Yaris dipandu secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori dinaiki dua beranak berkenaan.

“Akibat kejadian, pemandu itu mengalami luka di dada, tangan dan kaki kanan dan telah menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping.

“Sementara pemandu lori berusia 37 tahun dan ibunya berusia 64 tahun yang merupakan peniaga sate meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Juna berkata, polis menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kejadian sekitar jam 7.30 malam di Kilometer 93.5 Jalan Ipoh-Butterworth itu mengorbankan Shahren Ismail, 37, dan ibunya Zainab Alias, 64.