Duta besar baharu Malaysia ke Iran serah surat tauliah

in Global by

Teheran, Iran – Foto 123RF

TEHERAN – Duta baharu Malaysia ke Iran, Khairi Omar menyampaikan watikah pelantikannya kepada Presiden, Seyyed Ebrahim Raisi pada Ahad (8 Januari) di pejabat Presiden.

Menurut kenyataan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, ketibaan Khairi di Pejabat Presiden disambut mesra oleh Raisi yang mendoakan kejayaan duta besar yang baharu dilantik itu sepanjang berada di Iran.

Khairi pula menyampaikan salam mesra dan ucapan selamat daripada Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong serta Perdana Menteri kepada kerajaan dan rakyat Iran.

Beliau juga menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama rapat dengan pegawai Iran dan akan berusaha untuk mengembangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran ke tahap yang lebih tinggi terutama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, sains dan teknologi.

Khairi diiringi oleh Setiausaha Pertama, Nizam Halimi dan Setiausaha Kedua Kedutaan Malaysia, Mohd Tarmizi ketika menyampaikan surat tauliahnya.

Malaysia dan Iran menjalin hubungan diplomatik berikutan termeterainya Perjanjian Persahabatan pada 15 Januari 1968.

Pada 1970, Malaysia membuka kedutaannya di Tehran manakala Iran menubuhkan Kedutaan negara itu di Kuala Lumpur pada 1981.

Pada masa ini, Iran merupakan rakan dagangan ke-50 terbesar Malaysia dan destinasi eksport ke-39 terbesar Malaysia.

Bagi tempoh antara Januari-Oktober 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan Iran bernilai RM 3.2 bilion (USD718 juta dolar). – Bernama