'Hari ini kami cuti berpolitik' – Masidi

in Politik by

Masidi ditemui pemberita di Sri Gaya Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet atau taklimat mengenai menteri baharu dalam pertemuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya pada Isnin.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang menyatakan perbincangan hanya menjurus kepada persediaan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan pada Selasa.

“Semua wakil rakyat berkumpul di sini sekadar untuk perbincangan mengenai persidangan DUN esok yang akan bersidang dengan tujuan meluluskan dua Enakmen, tidak ada apa-apa yang lain dibincangkan hanya untuk tujuan penyelarasan siapa yang akan berucap esok.

“Tiada (perbincangan berkaitan politik), hari ini kami buat keputusan untuk bercuti daripada berpolitik. Tiada (perbincangan rombakan Kabinet) pun kita tidak bincang. Saya ingat bukan setiap hari orang politik itu ialah pasal politik. Kadang-kadang kita harus menumpukan kepada kerja dan juga tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat.

“Saya ini pun dari pejabat sebagai tanda fokus kita bekerja dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Sri Gaya di sini, pada Isnin.

Ditanya sekali lagi mengenai ura-ura akan adanya menteri baharu dalam Kabinet Sabah, ADUN Karanaan itu berkata, jika ada perubahan Kabinet ia akan diumumkan nanti.

“Tiada, kalau ada perubahan kita akan umumkan di masa yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai kehadiran semua ADUN pada sidang khas DUN itu, beliau mengharapkan bahawa semua wakil rakyat bersifat matang.

“Kita harapkan semua wakil rakyat bersifat matang, kita dalam dewan persidangan ini dalam usaha kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat bagi mengurus dua enakmen yang diharap dapat diluluskan esok.

“Ia ada kaitan dengan memberi autonomi kepada Sabah untuk menguruskan hal ehwalnya sendiri (berkaitan Perjanjian Malaysia 1963).

“Selama ini ia di bawah Suruhanjaya Tenaga Kebangsaan dan ada yang di bawah Petronas. Esok adalah permulaan kepada kita melihat hasil usaha perundingan kerajaan Pusat dan negeri dalam memberi kuasa yang lebih sesuai dengan semangat dan hasrat MA63,” katanya.

Sebelum itu, satu lagi pertemuan berlangsung di Sri Gaya antara Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan juga ADUN-ADUN daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) Sabah dan juga lima ADUN BN Sabah.