Lelaki Rohingya didakwa lakukan amang seksual

in Berita Semasa by

Seorang buruh binaan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.

MELAKA – Seorang buruh binaan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.

Korimullah Abdu Rahman, 35, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, lelaki etnik Rohingya itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak berusia 12 tahun 8 bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Pulau Senang 3, Semabok, di sini pada jam 8.30 malam, 26 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 14 kurungan A Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Siva Shangari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin ekoran kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) masih dalam proses permohonan.

Mahkamah turut menetapkan 31 Januari ini sebagai tarikh hukuman dan fakta kes serta pelantikan jurubahasa Rohingya.

Sinar Harian pada Rabu lalu menyiarkan lelaki terbabit ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa yang juga anak jirannya di di hadapan rumahnya di Semabok, di sini pada 26 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, perbuatan itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian kepada bapanya yang mendakwa suspek secara tiba-tiba telah menarik tangan kirinya dan meraba di bahagian dadanya beberapa kali.