Maqis rampas 160 tan kelapa kering dari Indonesia

in Edisi by

Kapal dagang dari Indonesia membawa kelapa kering yang mengandungi serangga perosak ditahan Maqis di Jeti Batu Pahat.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 160 tan kelapa kering yang cuba dibawa masuk dari Indonesia dirampas pihak berkuasa di Jeti Batu Pahat sekitar jam 12 tengahari pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, kelapa kering tersebut dianggarkan bernilai RM272,000 dibawa menggunakan sebuah kapal dagangan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguatkuasa Maqis telah menemui serangga perosak disyaki “Red Legged Ham Beetle” pada dagangan Kopra tersebut.

“Dagangan tersebut tidak dibenarkan masuk ke dalam negara bagi mengelakkan penyebaran perosak yang boleh menjejaskan industri kelapa negara,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport produk pertanian yang dipercayai mempunyai perosak, penyakit atau bahan cemar.