Maszlee perjelas spekulasi tawaran jawatan

in Politik by

Maszlee Malik. – Foto FB Maszlee Malik

SHAH ALAM – Teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ‘bersiap sedia’ telah ditafsirkan sebagai tawaran jawatan oleh media dan ramai pihak.

Susulan itu, Maszlee menerusi Facebooknya pada Isnin menjelaskan, beliau menyifatkan teguran Perdana Menteri adalah untuk beliau kembali aktif membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Status Facebook dua hari lepas menjadi berita dan spekulasi. Terima kasih kepada semua yang berbaik sangka dan menaruh harapan.

“Saya tidak menyebutkan apa-apa mengenainya di dalam status tersebut.

“Jawatan? Tiada apa yang dijanjikan. Apa yang diminta ialah pengorbanan demi rakyat setakat ini,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu telah bersetuju serta menawarkan diri bagi membantu PRN di negeri-negeri yang diperintah oleh PH terutamanya Selangor dan Negeri Sembilan dengan menjelajah kedua-dua buah negeri itu dalam waktu terdekat.

“Di samping itu, selain PRN, saya juga telah menawarkan diri kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk turun ke sekolah-sekolah bagi memberikan motivasi dan menaikkan semangat para guru serta anak-anak murid selepas pasca Covid-19.

“Melalui jerayawara itu juga diharapkan saya akan dapat membawa inspirasi dan suara kerajaan kepada para guru untuk terus membangunkan sistem pendidikan,” ujarnya pada Isnin.

Media melaporkan, hantaran dimuat naik Maszlee di Facebook, mencetuskan persoalan selepas beliau memberi bayangan bakal menyertai kerajaan pimpinan Anwar.

Dalam hantaran terbabit, bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkongsi kata-kata Perdana Menteri kepada beliau ketika bertemu pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR semalam.

Perdana Menteri berkata ‘bersiap sedia’, cuti sabatikal anda akan berakhir dalam tempoh terdekat.