Nahas empat kenderaan, trafik sesak 9km

in Berita Semasa by

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas empat kenderaan di lebuh raya dekat Sungkai pada Isnin. – Foto Bomba Perak (Gambar kecil: Wan Azharuddin)

TAPAH – Empat kenderaan terbabit dalam nahas hingga mengakibatkan aliran trafik sesak sembilan kilometer di Kilometer 358.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Sungkai, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian sekitar jam 4.40 petang itu turut mengakibatkan seorang lelaki maut.

Menurutnya, maklumat awal diterima, nahas berkenaan membabitkan kereta jenis Suzuki Swift, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX-5, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dan sebuah lagi kereta belum dikenal pasti.

“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mendapatkan punca sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, terdapat dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang kenderaan Mazda tersepit dalam nahas itu.

“Kedua-duanya berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat, bagaimanapun seorang daripada mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya.

Twitter @Plustrafik dalam ciapannya pada jam 7.32 malam memberitahu, lorong kiri laluan terbabit telah pun dibuka, namun aliran trafik masih sesak.