Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

in Bisnes by

Ringgit secara amnya dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pagi ini. – Foto 123RF

RINGGIT secara amnya dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pagi ini apabila data ekonomi Amerika Syarikat yang lebih lemah dikeluarkan Jumaat lepas mencetuskan penurunan ketara dalam hasil Perbendaharaan AS, kata seorang penganalisis.

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan mengukuh 185 mata asas pada 4.3820/3860 berbanding dolar AS daripada 4.4005/4070 pada penutupan urus niaga Jumaat.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, dolar AS yang lebih lemah menyokong pengambilan risiko global berdasarkan jangkaan pasaran bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan meredakan kadar dasar monetari lebih awal daripada jangkaan.

“(Selain itu), semua mata masih tertumpu pada berita pembukaan semula China. Memandangkan pertumbuhan China telah beransur-ansur kemballi pulih, ringgit sepatutnya terus mengukuh,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding pound British kepada 5.3057/3106 daripada 5.2159/2336 pada penutup Jumaat dan lemah berbanding euro menjadi 4.6717/6759 daripada 4.6254/6322.

Ringgit turut rendah nilainya berbanding dolar Singapura kepada 3.2836/2871 daripada 3.2664/2717 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.3250/3283 daripada 3.2739/2793 sebelumnya. – Bernama