UMK kaji vaksin STVac7 terhadap kambing, biri-biri

in Edisi Kelantan by

Kedua-dua pihak bergambar selepas Majlis Pemeteraian MoA di UMK Bachok pada Isnin. Foto: UMKPertukaran MoA antara Dr Farhan (kanan) dan Noor Shazreena (kiri) sambil disaksikan oleh Dr Mohd Daud (dua dari kanan) dan Prof Dr Nik Maheran (dua dari kiri).Foto: UMK

BACHOK – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) menjalankan kajian penyelidikan terhadap vaksin STVac7 semburan intranasal untuk kambing dan biri-biri bagi mencegah penyakit pneumonia.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, projek STVac7 Clinical Study itu dijalankan dengan Memorandum Perjanjian (MoA) bersama pemilik paten, Syarikat Bio Angle Vacs Sdn Bhd (BAV) bertujuan menguji keberkesanan dan keselamatan produk tersebut.

“Projek ini melibatkan kajian klinikal untuk menilai dan memastikan keberkesanan serta keselamatan penggunaan vaksin STVac7 terhadap haiwan-haiwan itu.

“Proses ini adalah sebahagian daripada keperluan mandatori bagi BAV memenuhi kelayakan mendapatkan kelulusan pendaftaran vaksin sebelum dikomersilkan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Isnin.

Beliau sebelum itu bersama Pengerusi BAV Sdn Bhd, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menyaksikan Majlis Pemeteraian MoA terbabit antara Dekan FPV UMK, Dr Farhan Hanif dan Ketua Pegawai Eksekutif BAV, Noor Shazreena Ishak.

**media[2051076]**

Dr Nik Maheran berkata, projek akan berjalan selama 19 bulan melibatkan dana yang diperuntukan oleh BAV berjumlah RM 510,000.

Sementara itu, Tan Sri Dr Mohd Daud berkata, vaksin tersebut berpotensi tinggi untuk berada di pasaran bagi memperkasakan sekuriti makanan.

“Vaksin juga memiliki nilai eksport di pasaran luar negara seperti China dan Nigeria.

“Negara seterusnya yang bakal mengimport vaksin ini ialah Pakistan, Kazakhstan, Kenya, Mongolia, Nigeria, Sudan, Ethiopia dan Uganda,” katanya.

Vaksin STVac7 ciptaan penyelidik diketuai oleh Prof Dr Mohd Zamri Saad dari FPV Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah vaksin jenis semburan intranasal pertama yang mampu memberikan lebih 90 peratus perlindungan terhadap kambing dan biri-biri daripada penyakit pneumonia yang disebabkan oleh virus Pasteurella haemolytica.

Paten bagi vaksin STVac dibeli daripada UPM dengan nilai RM4 juta dan dipindah milik secara eksklusif kepada BAV untuk dikomersilkan.