Veteran APM kongsi petua guna belacan 'hilang' bau mayat

in Edisi Selangor KL by

Mulliadi Al-Hamdi Ladin (tengah) ketika melawat Mohd Idris di rumahnya di Klang pada Ahad.

SHAH ALAM – “Pengalaman mengangkat mayat mangsa lemas dan berbau merupakan peristiwa tidak dapat dilupakan sepanjang 29 tahun berkhidmat dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” luah veteran APM, Mohd Idris Ab Hamid.

Berkongsi pengalaman Mohd Idris, 69, berkata, mangsa seorang lelaki dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Klang pada 1990.

“Bau mayat yang telah meninggal dunia lebih tujuh hari itu sangat kuat sehingga ‘melekat’ di hidung dan tangan saya apabila mengangkat mayat tersebut,” katanya ketika lawatan Pengarah APM Selangor, Mulliadi Al-Hamdi Ladin ke rumah Mohd Idris di Klang pada Ahad.

Mohd Idris berkongsi petua untuk menghilangkan bau mayat adalah dengan menyapu serta menggosokan sedikit belacan di tapak tangan, kemudian menghidu belacan tersebut.

“Lama-kelamaan bau mayat dan belacan itu akan sebati,” katanya.

Mohd Idris berkata, beliau berkhidmat dengan APM sejak 1982 dan bersara pada 2011.

“Pada ketika itu, saya bekerja sepenuh masa di Pelabuhan Klang, saya memilih APM kerana minat dengan pasukan badan beruniform.

“Saya tidak memikirkan duit elaun hanya 60 sen sejam pada masa itu, dalam keadaan tertentu saya dapat RM12 sebulan yang dibayar tunai,” katanya.

Mohd Idris berkata, beliau berasa puas hati apabila dapat membantu manusia lain yang ditimpa bencana atau kesusahan.

“Saya juga pernah bertugas ketika tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ampang pada Disember 2008, seramai empat mangsa terkorban akibat kejadian tanah runtuh tersebut.

“Saya merasai situasi di zon merah bersama penyelamat yang lain dan membantu mengeluarkan mangsa yang terkorban akibat tertimbus,” katanya.

Mohd Idris berkata, sebagai pasukan berpakaian seragam dan penyelamat, anggota APM baharu perlu ada jiwa dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

“Kita perlu terus berjuang serta bersemangat dalam memikul tanggungjawab serta tugas yang perlu dilaksanakan,” katanya.