11 maut ribut landa Filipina

in Global by

Seorang bapa membawa anaknya menggunakan bekas plastik semasa meredah air banjir di Wilayah Cagayan. – AFP

MANILA – Sekurang-kurangnya 11 orang maut dalam ribut yang melanda Filipina sejak minggu lalu, dengan hujan lebat dijangka berlaku di negara terdedah dengan bencana dahsyat.

Cuaca buruk melanda kepulauan selatan dan tengah negara itu sejak hujung minggu Krismas apabila hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh sehingga mengorbankan 52 orang selain ratusan ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Sejak 3 Januari lalu, ribut berturut-turut telah membunuh 11 orang apabila banjir menghanyutkan rumah, jalan dan hasil tanaman.

Ramalan cuaca memberi amaran bahawa ‘banjir besar’ bakal berlaku di kawasan rendah dan tanah runtuh di pergunungan di tengah pulau Samar.

Difahamkan hujan lebat telah menenggelamkan kampung di mana paras air mencecah tiga meter di beberapa kawasan.

Setakat ini, seorang dilaporkan hilang dan lebih 2,000 orang dipindahkan dari rumah mereka, menurut pegawai bencana wilayah Samar, Josh Echano. – AFP