25 warga asing dicekup dalam Op Tapis Khas

in Berita Semasa by

Agus Salim

SUNGAI BESAR – Seramai 25 warga asing diberkas polis di sekitar kawasan jeti nelayan dan hutan paya bakau, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, semua mereka berusia 20 hingga 38 tahun itu ditahan dalam ‘Op Tapis Khas’ bermula jam 10 pagi hingga 8 malam.

Menurut beliau, mereka ditahan atas pelbagai kesalahan, antaranya terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah, jenayah dan imigresen.

“Hasil serbuan itu juga, kita berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM55,000,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Agus Salim memberitahu, operasi itu disertai 20 pegawai dan 148 anggota di lokasi tangkapan.

Ujarnya, kawasan jeti nelayan dan hutan paya bakau sering dijadikan sebagai ‘port’ mendapatkan bekalan dadah.

“Hasil risikan selama sebulan mendapati kawasan jeti nelayan dan hutan paya bakau itu menjadi tempat untuk mendapatkan bekalan dadah,” ujar beliau.

Menurut Agus Salim, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 380, 379 dan 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kita merampas 4,600 pil yaba, 33.40 gram syabu, 14 pil Eramin 5 dan empat pil Estacy.

“Semua dadah ini dipercayai untuk pasaran Bagan Sungai Besar dan kawasan sekitar,” ujar beliau.

Tambah beliau, kesemua tangkapan dan rampasan dadah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, polis turut memusnahkan sekurang-kurangnya lima hingga enam ‘port’ yang dijadikan kawasan penagihan dadah.

“Polis akan terus bekerjasama dengan orang awam dan menjalankan operasi secara berterusan bagi memastikan daerah Sabak Bernam bebas jenayah dan penyalahgunaan dadah,” jelas beliau.