Bojan Ciger 'kereta kebal' baharu KDA FC

in Sukan by

Bojan Ciger (kanan) disambut oleh Khamal Idris di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Selasa. – Foto Facebook KDA FC

PERTAHANAN tengah baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Bojan Ciger dari Serbia yang pertama kali berkelana luar Eropah bersedia memberikan aksi terbaik buat kelab baharunya di Liga Malaysia bagi musim 2023.

Bekas pertahanan kelab Navbahor berusia 28 tahun ini mengakui membuat kajian dan mencari maklumat tentang Liga Malaysia selepas mendapat tawaran daripada Sang Kenari.

“Saya telah melihat dan mengkaji tentang Liga Malaysia apabila mendapat tawaran daripada KDA FC. Saya melihat pasukan Johor Darul Ta’zim telah mendominasi sejak beberapa tahun lalu dan mungkin sesuatu boleh berubah bagi musim 2023,” katanya semasa ditemui pemberita pada Selasa.

Dia berkata demikian selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali serta penyokong kelab tersebut.

Tambah Ciger yang berketinggian 1.86 meter dan mempunyai susuk tubuh sasa ini, sokongan ditunjukkan oleh penyokong setia Sang Kenari juga turut membuatkan dirinya teruja.

“Saya melihat begitu ramai penyokong KDA FC yang datang menyambut pemain-pemain import di lapangan terbang ini dan saya merasakan sokongan sangat ini penting kepada pemain,” kata ‘kereta kebal’ itu yang bakal memakai jersi nombor empat.