Cadang tubuh pasukan pemantau khas projek pembangunan di CH

in Edisi by

Nik Nazmi

SHAH ALAM – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan mencadangkan penubuhan satu pasukan pemantauan khas bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala terhadap projek pembangunan di kawasan Cameron Highlands, Pahang.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pasukan itu terdiri daripada pelbagai agensi yang diketuai oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang.

“Penubuhan pasukan itu juga dijangka dapat memastikan sebarang projek yang tertakluk kepada keperluan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (ElA) mendapat kelulusan Laporan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlebih dahulu sebelum diluluskan.

“Selain melihat penilaian bahaya dan risiko tanah runtuh oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebelum pelaksanaan oleh agensi-agensi berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua kelulusan projek pembangunan di Cameron Highlands ditangguhkan sementara, ketika ini.

Baginda bertitah agar semua projek terutama membabitkan pertanian dan penternakan, sama ada yang telah atau akan diberikan kelulusan membabitkan kawasan tanah tinggi itu untuk dikaji semula.

Tambah Nik Nazmi, Pengarah Penyelarasan dan Operasi JMG akan mengetuai pasukan Pemantau Cerun dibantu oleh JMG Negeri Pahang bagi memantau keadaan tapak semasa untuk menilai tahap risiko kepada berlakunya bencana tanah runtuh susulan aktiviti kerja tanah pertanian berhampiran kawasan tersebut termasuk kerja-kerja mitigasi.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, siasatan JAS terhadap projek-projek pembangunan di kawasan Cameron Highlands mendapati terdapat 16 projek yang tertakluk kepada Perintah EIA 2015 dan telah mendapat kelulusan.

“Projek-projek ini kini dalam pemantauan berkala JAS iaitu 10 projek belum mula, satu telah beroperasi dan masih ada kerja pembinaan, serta lima lagi dalam pelaksanaan kerja tanah.

“JAS juga telah menerbitkan kaedah mengenal pasti remedi secara lebih berkesan melalui Penilaian Impak Dari Udara (Aerial Impact Assessment – AIA) dan Pelan Tindakan Pembaikpulihan Segera (Immediate Remedial Action Plan – IRAP),” ujarnya.

Sementara itu, Nik Azmi memaklumkan JAS telah menjalankan siasatan terhadap projek yang menyebabkan kejadian banjir lumpur di pekan Kampung Raja, Cameron Highlands pada 20 Disember lalu.

“Siasatan tersebut mendapati bahawa pemaju projek tidak menjalankan laporan EIA dan tidak memohon kelulusan Laporan EIA, sedangkan ia perlu mendapat kelulusan Laporan EIA sebelum sebarang kerja dilaksanakan,” jelasnya.

Menurut Nik Nazmi, kelulusan laporan EIA merupakan input penting dalam proses perancangan dan keputusan kelulusan sesuatu projek oleh pihak berkuasa melulus.

“Bagaimanapun dalam hal ini, projek telah diluluskan tanpa EIA dan penglibatan JAS.

“Sehubungan itu, JAS telah mengambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 iaitu mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 untuk memberhentikan kerja-kerja di tapak sehingga kelulusan laporan EIA diperoleh,” katanya.

Tambah beliau, pemaju juga telah diarahkan untuk melaksanakan langkah-langkah remedi mengelakkan banjir lumpur.

“Kertas siasatan bagi kes ini juga sedang disiapkan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah,” jelas beliau.