DUN Sabah lulus ambil alih kuasa kawal selia bekalan gas

in Edisi by

Persidangan DUN Sabah lulus dua usul rang undang-undang berkait penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas daripada Persekutuan kepada Sabah.
KOTA KINABALU – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa meluluskan dua usul rang undang-undang berkaitan ambil alih kuasa kawal selia bekalan gas oleh kerajaan Sabah daripada kerajaan Persekutuan.

Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya berkata, dua usul iaitu pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah 2023 dan Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023 diluluskan dengan suara majoriti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mencadangkan usul pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah 2023 berkata, rang undang-undang itu bertujuan mewujudkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

“Dengan adanya rang undang-undang ini, akan memberi kuasa kepada suruhanjaya (ECoS) untuk menjalankan tanggungjawab kuasa kawal selia bagi sektor pembekalan gas di Sabah agar segala aktiviti sektor pembekalan gas dijalankan dapat dikawal dan dilaksanakan secara efektif dan efisyen,” katanya.

Hajiji berkata, ambil alih kuasa kawal selia bekalan gas itu adalah Fasa Pertama daripada pelan ambil alih sektor tenaga Sabah, dengan Fasa Kedua melibatkan ambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada Persekutuan dijangka pada April tahun ini.

Datuk Ewon Benedick (PH-Kadamaian) ketika membahaskan usul berkata, usaha mengambil alih kuasa bekalan gas, elektrik dan sektor tenaga itu adalah sebahagian daripada merealisasikan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dimahukan rakyat Sabah sejak sekian lama.

“Sepatutnya inilah fokus kita untuk menuntut hak-hak kita dalam MA63, Perlembagaan Persekutuan dan bukan lain-lain hal seperti ‘susun menyusun kerusi’ di dewan ini,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Penampang.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa antara parti dalam DUN Sabah antara lain bagi berbincang serta menyusun usaha menuntut hak Sabah dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan menerusi DUN Sabah.

Sementara itu, Hajiji ketika membentangkan Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023 berkata, ia memberi kuasa kepada kerajaan negeri mengawal selia sektor pembekalan gas di Sabah agar segala aktviti dijalankan dalam sektor itu dapat dikawal dan dilaksanakan secara efektif serta efisyen.

Katanya, kuasa itu merangkumi bekalan gas daratan iaitu pengimportan gas ke terminal penggasan semula, pemprosesan gas, penggasan semula gas, pengiriman gas, pengangkutan atau penghantaran gas, pengagihan gas, peruncitan gas dan penggunaan gas.

“Rang Undang-Undang ini akan ditadbir dan dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah,” katanya.

Kadzim kemudian menangguhkan persidangan itu ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. – Bernama