Harap PAU 2022 jadi peniup semangat

in Politik by

Musa Sheikh Fadzir

GEORGETOWN – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang akan diadakan bermula Rabu diharapkan menjadi peniup semangat kepada semua ahli termasuk pucuk pimpinan parti.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, PAU pada kali ini juga diharapkan akan memberi lebih kekuatan kepada UMNO selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Musa berkata, UMNO Pulau Pinang mengharapkan ahli parti di semua peringkat termasuk barisan pucuk pimpinan kekal teguh dengan UMNO walaupun ‘tidak menyerlah’ pada PRU lalu.

“PAU yang akan datang ini adalah perhimpunan ahli-ahli UMNO bersama pucuk pimpinan. Jadi selepas kita kalah dalam PRU15, Insya-ALLAH perhimpunan kali ini akan menjadi peniup semangat kepada kita untuk terus berjuang dalam UMNO.

“Ahli-ahli pun masih mengharapkan perjuangan UMNO, masih mengharapkan UMNO. Kita akan teruskan perjuangan kita,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Mengulas mengenai sokongan ahli parti itu, Musa berkata, UMNO masih mempunyai sokongan kuat daripada ahli, malah sokongan tersebut tidak pernah pudar.

“Kita tetap akan bersama dalam apa juga situasi, kalah menang, kita tetap akan bersama UMNO. Tiada cawangan yang tutup, tiada pun ahli UMNO yang ‘lari’. Ini menunjukkan, walaupun kita kalah, semangat ahli UMNO masih lagi kuat.

“Oleh itu, kita mengharapkan semua peringkat termasuk pucuk pimpinan, pemimpin atasan, cawangan buat sesuatu untuk pulihkan semula UMNO. Kita mesti bersatu dan tekad bagi memastikan UMNO kembali kuat, kukuhkan perpaduan dan semangat dalam parti.

“Kita kena bersatu, tunjukkan kepada rakyat bahawa UMNO bersatu, tiada perpecahan, Insya-ALLAH mereka yang atas pagar akan kembali menyokong kita. Kita akan teruskan perjuangan kita,” katanya.

PAU 2022 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 hingga 14 Januari 2023.

Turut dijadualkan berlangsung dalam PAU 2022 adalah Perhimpunan Agung Khas pada Jumaat ini iaitu selepas ucapan dasar Presiden UMNO untuk meminda dua usul Perlembagaan UMNO.