Jumlah trafik perjalanan udara meningkat pada November 2022

in Berita Semasa by

Keputusan trafik pada bulan November mengukuhkan bahawa pengguna benar-benar menikmati kebebasan untuk mengembara. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah trafik perjalanan udara pada November 2022 yang diukur dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), meningkat 41.3 peratus berbanding bulan yang sama 2021, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Di peringkat global, trafik perjalanan udara kini berada pada 75.3 peratus daripada paras November 2019, menandakan pemulihan berterusan dalam industri, katanya.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, IATA berkata, trafik antarabangsa meningkat 85.2 peratus pada bulan kajian berbanding bulan yang sama pada 2021, dengan Asia Pasifik terus melaporkan keputusan tahun ke tahun yang paling kukuh, dengan semua wilayah menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelum ini.

RPK antarabangsa pada November 2022 mencapai 73.7 peratus daripada paras November 2019, katanya.

“Trafik domestik pada November 2022 meningkat 3.4 peratus berbanding November 2021 dengan sekatan perjalanan di China terus menjejaskan keputusan global. Jumlah trafik domestik pada November 2022 adalah pada 77.7 peratus daripada paras November 2019.”

Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata, keputusan trafik pada bulan November mengukuhkan bahawa pengguna benar-benar menikmati kebebasan untuk mengembara.

“Malangnya, reaksi terhadap pembukaan semula perjalanan antarabangsa China pada Januari mengingatkan kita bahawa banyak kerajaan masih memainkan politik sains apabila ia berkaitan dengan Covid-19 dan perjalanan/pengembaraan.

“Pakar epidemiologi, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah dan lain-lain berkata pengenalan semula ujian untuk pelancong dari China tidak banyak membantu untuk membendung virus yang sudah ada di seluruh dunia.

“Dan bantahan China terhadap langkah dasar-dasar ini dikompromi oleh keperluan ujian prapelepasan mereka sendiri untuk pelancong yang melakukan perjalanan ke China,” katanya.

Walsh berkata, kerajaan harus menumpukan pada memanfaatkan alat yang sedia ada untuk mengurus Covid-19 dengan berkesan — termasuk terapeutik dan vaksinasi yang dipertingkatkan — dan bukannya mengulangi dasar yang gagal berulang kali dalam tempoh tiga tahun lepas. – Bernama