Kampung Jawa 'lejen' akan ditutup, peniaga rayu lokasi baharu

in Edisi by

Sulaiman menunjukkan baju kurung sekolah yang dijahit dan dijual di kedainya dengan harga berpatutan.SaharaKedai di Kampung Jawa bakal dirobohkan dan akan dibangunkan medan selera.SalamahDavid Yeo menunjukkan sebahagian kasut dan selipar yang dijual di kedainya di Kampung Jawa pada Selasa.

MELAKA – Peniaga di kawasan Kampung Jawa di sini, merayu kerajaan negeri menyediakan tempat baharu untuk membolehkan mereka terus berniaga.

Kebimbangan peniaga tercetus sejak November lalu apabila mendapat maklumat pemilik tanah mahu menjual tanah berkenaan kepada pihak pemaju untuk dibangunkan medan selera tidak lama lagi.

Peniaga pakaian, Sulaiman Omar, 61, berkata, sejak 46 lalu dia sudah berniaga di atas tanah milik Tun Tan Cheng Lock itu selepas mengambil alih perniagaan bapanya bermula tahun 1970-an.

**media[2052376]**

Menurutnya, sehingga kini dia masih mencari lokasi baharu untuk meneruskan perniagaannya yang turut menjual pakaian sekolah jenama sendiri termasuk dihantar ke sekolah-sekolah agama.

Katanya, sepanjang tempoh itu dia melihat jatuh bangunnya tempat paling lama di Melaka yang menjual pakaian, kelengkapan persekolahan seperti beg sekolah, kasut sekolah dan selipar.

Tambahnya, kebanyakan pelanggan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) kerana harga ditawarkan kedai-kedai di situ tidak membebankan, selain kos sewa kedai dianggarkan bermula RM350 sebulan.

“Ini merupakan antara lokasi tertua dan terkenal untuk membeli-belah pada 70-an hingga 90-an dan sampai sekarang tempat ini masih dikunjungi.

“Harap kerajaan negeri dengar suara kecil kami peniaga di sini. Kasihan kami yang tak tahu di mana lagi untuk berniaga. Kalau boleh biarlah kedai baharu nanti berdekatan tempat ini,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

**media[2052378]**

Sementara itu, peniaga kasut, David Yeo, 75, berkata, sekiranya kawasan kedai itu dirobohkan, dia terpaksa akur dan melupakan perniagaannya ditambah pula faktor umur yang telah berusia.

“Berniaga di sini pelanggan yang datang boleh tawar-menawar sebab itu sehingga sekarang masih ada pengunjung walaupun pasar raya banyak di negeri ini.

“Bila dah tutup tempat ini saya tak dapat nak teruskan, selagi diberikan tempoh berniaga di sini, hingga Mei depan saya akan terus berniaga seperti biasa,” katanya.

**media[2052379]**

Bagi Salamah Mohamed, 64, dia sedih dan sebak selepas dimaklumkan tempat itu akan ditutup dan dibangunkan dengan projek lain.

Dia yang berniaga pakaian berkata, sejak 1992 Allahyarham suaminya berniaga di Kampung Jawa sehinggalah suaminya meninggal dunia pada 2012 dan dia kemudian mengambil alih perniagaan tersebut.

Menurutnya, dengan pendapatan menjual pakaian dia membesarkan anak-anaknya dan meneruskan kelangsungan hidup.

“Dulu Kampung Jawa sering jadi tumpuan kerana menawarkan harga berpatutan dan banyak pilihan.

“Saya rayu kerajaan Melaka bantulah kami jangan tutup periuk nasi kami,” katanya.

**media[2052377]**

Sementara itu pelanggan, Sahara Sonot, 62, yang menetap di Kuala Sungai Baru berkata, walaupun lokasi itu agak jauh dari rumah namun lebih selesa membeli-belah di situ.

Menurutnya, dari anak-anaknya masih kecil dia gemar membeli pakaian baju raya dan persekolahan anak di Kampung Jawa.

“Harga di sini murah, kalau harga RM30 boleh kurang jadi RM28 dan tidaklah membebankan kalau yang anak ramai.

“Bila tahu tempat ini akan tutup saya pun sedih, sebab barang-barang yang dijual di sini murah berbanding di tempat lain,” katanya.