Kuota jemaah haji Malaysia kembali kepada 31,600 orang

in Nasional by

Kerajaan Arab Saudi bersetuju memperuntukkan sebanyak 31,600 kuota jemaah haji Malaysia tahun ini.Mohd Na’im ketika bertemu Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia.

SHAH ALAM – Kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk mengembalikan kuota asal jemaah haji dari Malaysia pada tahun ini kepada 31,600 berbanding 14,306 orang pada tahun lalu.

Keputusan itu dibuat hasil kata sepakat yang dipersetujui antara Malaysia dan kerajaan Arab Saudi dalam mesyuarat khas bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia pada Isnin.

Mohd Na’im melalui laman Facebook berkata, beliau mewakili Malaysia menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh itu.

“Saya yakin penilaian telah dibuat dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal-bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin semasa menunaikan rukun Islam yang kelima ini,” ujarnya pada Selasa.

**media[2051859]**

Tambah beliau, di dalam mesyuarat tersebut, Tawfiq turut memuji Malaysia khususnya pihak Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.

“Saya memberikan penegasan bahawa TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan daripada kerajaan Arab Saudi.

“Semua umat Islam diharapkan dapat bersama-sama berdoa kepada ALLAH SWT agar mempermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan semoga pihak TH dapat menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan lancar,” jelasnya