Lelaki maut ditetak dalam pergaduhan

in Berita Semasa by

Seorang lelaki maut ditetak dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan remaja di Taman Intan, Kapar, di sini pada Selasa. – Gambar hiasan

KLANG – Seorang lelaki maut ditetak dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan remaja di Taman Intan, Kapar, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.04 pagi, mangsa berusia 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Cegah Jenayah Balai Polis Kapar dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung pergaduhan tersebut.

Katanya, pemeriksaan dijalankan mendapati seorang lelaki berumur 30-an dalam keadaan berlumuran darah terbaring di atas jalan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Siasatan awal dijalankan mendapati berlaku pergaduhan melibatkan dua kumpulan remaja dengan mangsa dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam.

“Setakat ini, pihak polis telah mengenal pasti dua individu berumur lingkungan 20-an dipercayai terlibat dalam kejadian,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, usaha mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.