Lelaki maut nahas dua treler di plaza tol

in Berita Semasa by

Treler dipandu mangsa remuk selepas terlibat dalam kejadian itu pada Selasa.

PETALING JAYA – Seorang lelaki maut selepas treler dipandunya melanggar belakang sebuah treler yang sedang berhenti membayar tol di Plaza Tol Subang, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 12.37 tengah malam.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 31 tahun dan merupakan warga India tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan terbabit.

“Saksi kejadian dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Hafeez Faezal A Aziz di talian 01132311232 bagi membantu siasatan,” katanya.