Maritim tahan empat kapal dalam operasi Jangkar Haram

in Berita Semasa by

Kapal berdaftar dari Douglas, Australia ditahan di perairan Tanjung Siang, Kota Tinggi, pada IsninKapal tangki berdaftar Zanzibar, Tanzania ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Siang, Kota Tinggi, pada Isnin.Nurul Hizam menunjukkan kapal yang ditahan dalam operasi Jangkar Haram yang dijalankan di perairan Kota Tingg pada Selasa.

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan empat kapal di perairan Kota Tinggi dalam operasi Jangkar Haram pada Isnin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Nizam Zakaria berkata, penahanan pertama dilakukan pada jam 10.50 hingga 11.30 pagi oleh bot ronda maritim terhadap dua kapal tangki yang berdaftar dari Pulau Pinang dan Panama.

“Kapal berkenaan disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram pada kedudukan 32 batu nautika timur Tanjung Sedili Besar.

“Kapal tangki dari Pulau Pinang itu dikendalikan 10 kru termasuk warganegara Malaysia, Indonesia dan Myanmar manakala kapal tangki dari Panama dikendalikan 18 kru terdiri daripada warganegara India dan Pakistan.

**media[2052014]**

“Semua kru yang berumur di antara 25 hingga 59 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor di sini pada Selasa.

Beliau berkata, sekitar jam 11.40 pagi pula, sebuah kapal dagang dari Douglas, Australia ditahan pada kedudukan 11.9 batu nautika timur Tanjung Siang yang dikendalikan 22 kru warganegara Filipina berumur antara 25 tahun hingga 67 tahun.

Katanya, penahanan terakhir melibatkan kapal tangki berdaftar dari Zanzibar, Tanzania dikendalikan lima kru warga Indonesia berumur di antara 26 tahun hingga 60 tahun pada kedudukan 12 batu nautika timur Tanjung Balau pada jam 4.15 petang.

Jelasnya, penahanan kapal ketiga dan keempat itu kerana bersauh tanpa kebenaran dan semua kapal berkenaan bersama nakhoda kapal dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili bagi siasatan lanjut.

Bagi kesalahan pemindahan minyak secara haram katanya, 7,000 metrik tan Marine Fuel Oil (MFO) bernilai RM24.5 juta turut disita bagi siasatan lanjut.

**media[2052015]**

“Bagi kesalahan pemindahan minyak secara haram, kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) manakala bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Sementara itu, bagi Operasi Jangkar Haram pada 2021, beliau memberitahu, jumlah tangkapan sebanyak 98 kes melibatkan kompaun RM2,981,000 dikutip.