PAU 2022: Medan beri pandangan, kukuhkan institusi presiden

in Politik by

Mohamad Ali

MEALAKA – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 perlu dijadikan medan memberikan pandangan serta saranan yang boleh membina semula kekuatan parti itu selepas mengalami kekalahan tidak terduga pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, apa yang lebih penting, perhimpunan kali ini menjadi medium penyatuan semula untuk memperkukuhkan institusi presiden.

Menurutnya, institusi presiden mestilah dipertahankan supaya apa jua mandat yang diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat dihayati oleh semua ahli.

“Dalam apa jua organisasi jika suara ketua itu tidak didengari oleh sebahagian anggota parti, akhirnya parti tidak dapati dikemudi dengan baik.

“Sebab itu institusi presiden perlu diperkukuhkan dan dihormati,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.

Sementara itu pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berharap semua ahli akan terus ke depan dan bersama kerajaan seperti mana yang disarankan oleh presiden parti bersama permuafakatan besar menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, media melaporkan PAU yang akan berlangsung pada Rabu hingga Sabtu ini hanya membabitkan ahli UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) serta enam ‘Friends of BN’ (rakan BN) sahaja untuk memberi tumpuan kepada isu dalaman parti.