Peguam gagal cabar kesahan pengampunan diraja Anwar

in Berita Semasa by

Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – [KEMAS KINI] Seorang peguam gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan pada Selasa untuk mencabar kesahan pengampunan diraja yang diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara, menolak permohonan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz untuk mendapatkan kebenaran merayu selepas mendapati perkara itu kini bersifat akademik.

“Mahkamah sebelum ini telah membuat dapatan fakta bahawa Lembaga Pengampunan telah ditubuhkan mengikut Perlembagaan. Kami bersetuju bahawa soalan yang dicadangkan oleh pemohon (Mohd Khairul) tidak memenuhi keperluan ambang di bawah Seksyen 96(a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Isu ketidakwajaran telah diselesaikan dan tiada sebab untuk meninggalkan duluan undang-undang sedia ada,” kata Ketua Hakim Negara ketika menyampaikan keputusan pada Selasa melalui prosiding dalam talian.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Atas nasihat Lembaga Pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tengku Maimun berkata, mahkamah tertinggi itu mendapati tiada asas untuk mencadangkan sebarang salah nyata dalam nasihat yang ditawarkan.

Beliau berkata, dalam isu sabitan, mahkamah mendapati dokumen pengampunan itu tidak merujuk kepada fakta bahawa sabitan itu diketepikan.

“Tidak timbul soal kuasa mahkamah dirampas. Akhirnya kita dapati perkara itu telah menjadi akademik. Oleh itu, kedua-dua permohonan ditolak tanpa perintah mengenai kos,” katanya.

Tengku Maimun membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mohd Khairul, J. Leela mewakili Perdana Menteri dan Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan bertindak bagi Lembaga Pengampunan.

Pada 21 September 2021, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membatalkan saman yang difailkan terhadap mereka oleh Mohd Khairul.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Indera Mohd Sofian Abd Razak dan Datuk Lee Heng Cheong berpendapat Mohd Khairul tidak berhak untuk mempersoalkan pengampunan dan nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pemberian pengampunan kepada Anwar.

Pada 21 September 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula itu.

Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman pemula itu pada 26 Februari 2020, menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar sebagai responden, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara susulan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Peguam itu mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Dakwanya, pada ketika itu Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU ke-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baharu.

Anwar telah dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015. – Bernama