Sime Darby Plantation komited perangi rasuah

in Khas by

Persidangan berkenaan menampilkan Nurhayati (kanan); Nordin (kiri); Lam Thye (dua dari kiri) dan Muhammad Mohan (dua dari kanan) dalam forum yang membicarakan mengenai ‘Membina Kekuatan Syarikat Dengan Amalan Integriti’. (Gambar kecil: Mohamad Helmy)

PETALING JAYA – Sime Darby Plantation Berhad (SDP), menghantar isyarat yang jelas kepada dunia perniagaan untuk memerangi rasuah melalui inisiatif penganjuran Persidangan Kemuncak Integriti 2023, di sini pada Selasa.

Pengarah Urusan Kumpulan syarikat tersebut, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, pihaknya komited untuk membudayakan integriti dan amalan antirasuah dalam kalangan kakitangannya dengan memperbanyakkan program seumpama itu.

“Kami proaktif untuk bersama membudayakan amalan antirasuah dan meletakkan amalan integriti di tahap tertinggi di SDP,” katanya ketika menyampaikan ucapan bersempena penganjuran persidangan berkenaan di Auditorium Sime Darby Plantation.

Persidangan berkenaan menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters) Nurhayati Nordin, aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan dalam forum yang membicarakan mengenai ‘Membina Kekuatan Syarikat Dengan Amalan Integriti’.

Tambahnya, program seumpama itu akan dianjurkan setiap tahun bagi memperlihatkan keazaman pihaknya membasmi rasuah.

“Insya-ALLAH kita akan anjurkan persidangan seumpama ini pada setiap tahun,” katanya.