Stok minyak sawit Malaysia turun 4.09 peratus

in Nasional by

Stok minyak sawit Malaysia turun 4.09 peratus kepada 2.19 juta tan metrik pada Disember tahun lepas. – Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Stok minyak sawit Malaysia turun 4.09 peratus kepada 2.19 juta tan metrik pada Disember tahun lepas daripada 2.29 juta tan metrik yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Lembaga Minyak Sawit Mentah Malaysia (MPOB), dalam laporan prestasinya bagi Disember 2022 berkata, stok minyak sawit mentah (MSM) turun sebanyak 0.87 peratus kepada 1.29 juta tan metrik pada Disember daripada 1.30 juta tan metrik pada November.

Stok minyak sawit diproses susut 8.36 peratus kepada 902,643 tan metrik daripada 984,936 tan metrik sebelumnya.

Pengeluaran MSM turun 3.68 peratus kepada 1.62 juta tan metrik pada Disember daripada 1.68 juta tan metrik pada November manakala pengeluaran isirung sawit susut 2.00 peratus kepada 399,446 tan metrik.

“Eksport minyak sawit berkurangan sebanyak 3.48 peratus kepada Disember kepada 1.47 juta metrik daripada 1.52 juta tan metrik pada November manakala eksport oleokimia naik 0.19 peratus kepada 228,018 tan metrik berbanding 227,576 tan metri,” katanya.

MPOB berkata, eksport biodiesel pada Disember susut 17.14 peratus kepada 15,002 tan metrik daripada bulan sebelumnya manakala eksport dedak isirung sawit meningkat 22.45 peratus kepada 222,427 tan metrik daripada 181,642 tan metrik.

Eksport minyak isirung sawit melonjak 70.70 peratus pada Disember kepada 134,429 tan metrik daripada November.

Import MSM pada Disember meningkat 34.52 peratus bulan ke bulan kepada 15,453 tan metrik berbanding 11,488 tan metrik pada bulan sebelumnya manakala jumlah import minyak sawit naik 0.14 peratus kepada 47,114 tan metrik daripada bulan sebelumnya. – Bernama