UUM berjaya kekalkan akreditasi AACSB

in Edisi Utara by

Haim Hilman pada Majlis Anugerah Jaya Universiti (MAJU) di Dewan Mu’adzam Shah, UUM pada Selasa.

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mengekalkan akreditasi berprestij daripada The Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) bagi tempoh lima tahun lagi dengan menggunakan standard baharu iaitu 2020 Business Accreditation Standards pada 8 Februari 2022.

Universiti tersebut memperoleh akreditasi berprestij buat pertama kali pada 10 Ogos 2016 selepas diumumkan oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Akreditasi AACSB, Robert D. Reid di Tampa, Florida, Amerika Syarikat.

Menurut Naib Canselornya, Prof Dr Haim Hilman Abdullah, UUM merupakan antara sekolah perniagaan terbesar yang mendapat akreditasi AACSB dengan 16 program sarjana muda dan lapan program pascasiswazah yang diakreditasi melibatkan 14,544 pelajar dan 442 pensyarah sepenuh masa.

“Hari ini, UUM adalah salah satu daripada lima peratus sekolah dunia yang menawarkan ijazah perniagaan yang telah mendapat akreditasi AACSB. Di Malaysia, hanya lima institusi yang diiktiraf oleh AACSB termasuk UUM.

“AACSB International ialah badan akreditasi global yang berprestij dan tertua untuk sekolah perniagaan di dunia yang menyediakan jaminan kualiti yang diperlukan untuk program perniagaan,” katanya pada Majlis Anugerah Jaya Universiti (MAJU) di Dewan Mu’adzam Shah, pada Selasa.

Ujarnya, pada tahun 2020, AACSB International telah mengemas kini piawaian akreditasi perniagaan untuk memiliki standard kualiti tertinggi dunia dalam pendidikan perniagaan.

“Kejayaan mempertahankan akreditasi AACSB ini secara tidak langsung telah membuktikan kualiti program akademik UUM COB, OYAGSB dan program akademik Perniagaan Antarabangsa telah menunjukkan perkembangan dan penambahbaikan berterusan.

“Selepas memperoleh akreditasi AACSB, UUM diiktiraf di seluruh dunia untuk program ijazah yang berkualiti tinggi, di mana pelajar dibekalkan dengan kelebihan kursus dan program yang mempersiapkan mereka untuk menjadi pemimpin berpotensi tinggi dengan kemahiran yang diperlukan dalam membina masa depan yang sejahtera,” katanya lagi.

Tambah Haim Hilman, AACSB Peer Review Team (PRT) terdiri daripada tiga dekan sekolah perniagaan dari Universiti Keio, Jepun; Universiti Deakin, Australia, dan Universiti Turku, Finland juga telah memuji UUM atas jaminan proses pembelajaran (AoL) yang mengagumkan.

Menurut, perkara itu membabitkan program penglibatan komuniti yang memberi inspirasi, dan inisiatif luar biasa dalam menangani cabaran Covid-19, terutamanya berkaitan pengajaran dan pembelajaran serta perkhidmatan pelajar.