Warisan tidak hadir sidang khas DUN Sabah

in Politik by

Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Warisan (Warisan) menggesa sebuah Jawatankuasa Khas ditubuhkan segera bagi menentukan kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, semua ADUN Warisan menyokong penuh saranan Anwar untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya bersama ADUN Warisan tidak akan hadir ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas yang diadakan pada Selasa namun menyokong penuh dua Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibentang dalam mesyuarat itu nanti.

Katanya, ketidakhadiran itu supaya bagi memastikan Jawatankuasa Khas ditubuhkan segera untuk menentukan kepimpinan Kerajaan Perpaduan seperti yang dibincangkan dengan Anwar dalam pertemuannya pada Isnin.

“Selepas perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari 2023 (Isnin), saya dan ADUN-ADUN Parti Warisan menyokong saranan beliau bagi pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir Negeri Sabah.

“Saya bersama ADUN-ADUN Parti Warisan juga menyokong penuh RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan RUU Bekalan Gas 2023 yang akan dibentang dalam Mesyuarat Khas Penggal Ketiga DUN yang Ke-16 pada 10 Januari 2023 selaras dengan perjuangan Parti Warisan untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau yakin bahawa RUU itu akan mendapat kelulusan kerana hanya memerlukan majoriti mudah daripada ADUN dalam sidang dewan khas itu nanti.

“Saya yakin kedua-dua RUU ini akan mendapat kelulusan kerana hanya memerlukan majoriti mudah.

“Namun ketidakhadiran kami pada sidang DUN hari ini adalah atas sebab perlunya untuk penubuhan secepat mungkin sebuah Jawatankuasa Khas bagi menentukan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah seperti yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun ketika ditemui pemberita pada Isnin memaklumkan perbincangan sidang DUN Khas diadakan bagi membentang dua RUU yang akan diluluskan dalam sidang itu nanti.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah memaklumkan persidangan DUN Khas itu bermula pada jam 10 pagi Selasa.