Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Michelle Yeoh

in Nasional by

Michelle memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Dalam Filem Muzikal atau Komedi menerusi filem lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once. – Foto FB Istana Negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh atas kejayaan melakar sejarah, sebagai pelakon Malaysia pertama meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe di Los Angeles, Amerika Syarikat, pada Rabu.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada aktres kelahiran Ipoh, Perak itu.

Menurut catatan di Facebook Istana Negara, baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Michelle, yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Selain itu, ia juga sekali lagi membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa,” menurut Istana Negara.

Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Michelle dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Aktres berusia 60 tahun itu memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Dalam Filem Muzikal atau Komedi menerusi filem lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.

Michelle menewaskan calon lain termasuk Lesley Manville menerusi filem Mrs Harris Goes to Paris, Margot Robbie (Babylon), Anya Taylor-Joy (The Menu) dan Emma Thompson (Good Luck to You, Leo Grande). – Bernama