Dadah: Lelaki dipenjara lapan tahun, 10 sebatan

in Berita Semasa by

Seorang lelaki dipenjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana memiliki dan mengambil dadah tahun lepas.

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Seorang lelaki dipenjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana memiliki dan mengambil dadah dua tahun lepas.

Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Al Hafiz Abu Bakar, 27, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara lapan tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan memiliki dadah dan 12 bulan penjara bagi kesalahan mengambil dadah serta pengawasan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan selama dua tahun.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 8 November 2021.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 47.20 gram dan memasukkan dadah itu ke dalam badannya di tepi tangga Blok KP2, di Taman Kuchai Jaya di sini dan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Brickfields, pada 8.30 malam dan 10 malam, 8 November 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan minimum 10 sebatan dan Seksyen 15(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan tidak melebihi tiga tahun.

Muhammad Al Hafiz, yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan telah insaf manakala Timbalan Pendakwa Raya, Ngoh Jess Lynn memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. – Bernama