Dua beradik proses, edar heroin di rumah sewa

in Berita Semasa by

Mohd Yusri (dua dari kiri) menunjukkan heroin yang dirampas daripada dua beradik bagi memproses dan mengedar dadah sekitar Perak.Mohd Yusri menunjukkan kenderaan milik suspek yang mempunyai lambang ‘VVIP’ disyaki bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

IPOH – Dua beradik disyaki dalang sindiket memproses dan mengedar dadah jenis heroin ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bandar Barat, Kampar pada Isnin.

Serbuan sekitar jam 4 petang yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berjaya menahan lelaki berusia 44 dan 45 tahun yang baru selesai ‘memasak’ dadah berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek yang merupakan penganggur bertindak menyewa rumah dua tingkat berkenaan bagi memproses dan membungkus dadah untuk pasaran sekitar negeri ini.

Menurutnya, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM665,782.

“Sebanyak 40.1 kilogram (kg) heroin bernilai RM602,025 dirampas bersama 11kg kafein (RM3,757) dan 4kg cecair disyaki dadah bernilai RM60,000.

“Turut dirampas adalah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan parkir IPK Perak di sini pada Rabu.

Mohd Yusri berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek yang tiada rekod kesalahan lampau itu telah aktif sejak mengedar sejak Disember lalu.

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis morfin.

**media[2053306]**

“Selain itu, usaha suspek menggunakan lambang ‘VVIP’ pada kereta jenis Honda City bagi mengaburi pihak berkuasa juga gagal apabila kenderaan itu turut disita.

“Tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita kereta yang dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya.

Jelas beliau, kedua-dua suspek telah direman selama seminggu bermula Selasa sehingga Jumaat ini.

“Siasatan diteruskan bagi mengesan rakan-rakan sejenayah lain yang disyaki terlibat dalam sindiket ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.