Jual arak di kawasan bukan Islam sahaja – Sanusi

in Edisi Utara by

Penjualan arak di Kedah hanya dibenarkan di kawasan didiami penduduk bukan Islam. – Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)

ALOR SETAR – Penjualan arak di Kedah hanya dibenarkan di kawasan didiami penduduk bukan Islam melalui premis-premis dibenarkan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia adalah usaha Kedah mengawal penjualan arak di kawasan penduduk bukan Islam berdasarkan keperluan mereka sahaja.

Muhammad Sanusi menegaskan, orang bukan Islam dibenarkan untuk minum arak di negeri ini.

“Bagaimanapun, ia (arak) tidak boleh dijual secara terbuka di tempat-tempat lain seperti di kampung-kampung.

“Kerajaan negeri komited menghadkan penjualan minuman keras serta memastikan penjualannya tidak melebihi keperluan,” katanya dipetik Harakahdaily pada Rabu.

Keputusan Kedah pernah dimaklumkan Muhammad Sanusi pada November 2021 seiring dengan larangan kerajaan negeri terhadap operasi perjudian berlesen berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Beliau berkata, langkah itu bagi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum sekali gus tidak menafikan hak orang bukan Islam untuk minum arak.

“Saya mahu orang ramai terkawal daripada perkara seumpama itu seperti mabuk. Tapi sebaiknya tak payahlah minum walaupun tiada larangan kepada non Muslim kerana alkohol tetap tidak baik,” katanya.

Menurut beliau, Singapura merupakan antara negara yang tegas mengenai penggunaan minuman keras.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi menjelaskan penjualan arak di pulau bebas cukai Langkawi bukan di bawah bidang kuasa kerajaan Kedah, sebaliknya tanggungjawab Kementerian Kewangan.