Kertas siasatan penonton maut di peringkat akhir

in Berita Semasa by

Laporan daripada portal Sinar Harian mengenai kemalangan maut di Litar Dato’ Sagor, Pasir Salak pada 31 Disember lalu. Gambar kecil: Mohd Yusri

IPOH – Kertas siasatan berhubung kejadian seorang pengusaha bengkel kenderaan meninggal dunia selepas dirempuh kereta terbabas dalam satu acara permotoran di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah pada Disember, kini di peringkat akhir untuk disiapkan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini sembilan saksi telah dipanggil dan beberapa lagi akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan itu.

“Kita perlu siasat secara terperinci dan tidak mahu insiden tersebut berulang lagi. Tindakan akan diambil kepada mana-mana persatuan, orang perseorangan jika didapati bersalah (dalam hal itu),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada Rabu.

Dalam kejadian pada 31 Disember itu, seorang lelaki yang juga pengusaha bengkel kenderaan, maut selepas dirempuh kereta jenis Proton Satria ketika menyaksikan acara permotoran di Litar Dato’ Sagor, Pasir Salak.

Bedah siasat mayat lelaki berusia 32 tahun itu di Hospital Changkat Melintang mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.

Siasatan pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila dua kenderaan gagal mengawal kenderaan ketika bergesel semasa menghampiri garisan penamat. – Bernama