'Kita akan berdepan cabaran pada 2023'

in Khas by

Herizal (tengah) bersama moderator, Anim Ezati Rizki (kiri) dan Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rakyat susah, salah siapa?’ di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

SHAH ALAM – Prospek ekonomi Malaysia pada 2023 dijangka lebih mencabar, kesan daripada ketidakstabilan politik dan ekonomi dunia.

Penganalisis Ekonomi, Politik dan Hubungan Antarabangsa, Herizal Hazri berpandangan, sebagai sebuah negara yang mengamalkan perdagangan pintu terbuka, Malaysia akan turut mengalami kesan jika dunia antarabangsa berada dalam keadaan tidak ‘sihat’.

Susulan itu tegasnya, rakyat Malaysia bakal berhadapan dengan saat-saat yang lebih mencabar dan sukar pada tahun ini.

“Tentu sekali Malaysia tidak terkecuali (krisis ekonomi global), sebab yang pertama secara asasnya kita adalah negara yang ekonominya paling terbuka sekali dari sudut ekonominya, kalau kita lihat di rantau Asia dan juga Asia Tenggara.

“Kita ini sebuah negara yang saling berdagang dengan negara lain di peringkat antarabangsa dan tentu sekali apa sahaja yang berlaku di peringkat dunia itu akan memberi kesan, impak kepada kita.

“Jadi bagi saya apa yang dikhabarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang janggal, banyak penganalisis ekonomi dan politik antarabangsa telah meramalkan memang kita akan melalui masa-masa yang sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rakyat susah, salah siapa?’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Tegasnya, suka atau tidak, rakyat sudah tentu perlu berdepan dengan situasi berkenaan.

“Untuk itu kita mungkin perlu mempertingkatkan lagi produktiviti kita, mencari kawasan ekonomi baharu untuk kita mengurangkan impaknya kepada negara serta yang paling utama saya rasakan semua orang perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Kerajaan dan rakyat perlu bersama-sama bergandingan kerana dunia sudah diramalkan akan mengalami saat sukar, kalau masing-masing bertanggungjawab insya-ALLAH kita boleh melaluinya,” katanya.

Sementara itu, menurut Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim ketika menyentuh perihal berkenaan mengingatkan bahawa semua pihak perlu bersedia dengan segala kemungkinan.

“Kita kena bersedia, kita sebenarnya tidak kena-mengena tetapi kita kena kesan daripadanya… Pertama disebabkan oleh pandemik yang mana kita belum pulih diikuti perang di Eropah,” katanya.

Menyifatkan dunia sebagai sebuah perkampungan yang saling berhubung, Helmi menegaskan, ‘Malaysia tidak boleh lari’ daripada situasi yang dialami oleh dunia antarabangsa ketika ini.

“Ada ungkapan yang menyebut bahawa apa yang berlaku di peringkat global akan mempengaruhi apa yang berlaku di peringkat nasional dan lokal, jadi kita tidak terasing.

“Kita hidup dalam satu perkampungan global, apa yang berlaku di sudut dunia akan terkesan kepada kita,” katanya lagi.