Muhammad Yasin gagal representasi pertama

in Berita Semasa by

Muhammad Yasin dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi prosiding kes dadah pada Rabu.

PETALING JAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi oleh penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya, di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah berkata, mahkamah telah menetapkan Rabu untuk sebutan keputusan representasi yang dibuat oleh tertuduh melalui peguamnya.

“Saya ingin maklumkan AGC telah menolak representasi tersebut, namun surat rasmi belum dikeluarkan kepada pembelaan.

“Saya percaya prosiding seterusnya ialah tarikh perbicaraan bermula 6 Mac depan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Ariff Azami Hussein mengesahkan telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut oleh pasukan pendakwaan pada Selasa.

“Kami mengucapkan terima kasih meskipun belum menerima makluman mengenai perkara tersebut secara bertulis atau e-mel.

“Kami sudah bincang dengan anak guam dan pembelaan telah mendapat arahan terkini untuk memasukkan representasi kedua,” katanya.

Beliau mencadangkan, keputusan representasi itu ditetapkan pada tiga ke empat minggu akan datang dan mereka akan memasukkan permohonan kedua, selewat-lewatnya dua minggu dari prosiding berkenaan.

Selepas mendengar permohonan itu, Nik Nasimah menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan representasi kedua berkenaan.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan berlangsung selama 15 hari bermula 6 Mac, seramai 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Pada 6 Julai 2022 lalu, Muhammad Yasin, 48, bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan itu ditarik balik dan dia dituduh semula atas kes baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu bagi satu lagi pertuduhan, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Muhammad Yasin yang hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja lengan pendek bewarna hitam berkata, dia sendiri akan menulis representasi kedua.

“Sejujurnya, saya terkejut, terkilan dan sedih dengan keputusan itu namun saya akan terus berjuang.

“Apabila tuhan cakap, ‘kun fayakun’ iaitu bermaksud ‘jadilah, maka ia akan berlaku’,” katanya.

Sementara itu, Ariff Azami berkata, biarpun keputusan representasi pertama telah ditolak ia tidak bermakna representasi seterusnya akan ditolak selama-lamanya.

“Representasi berkenaan adalah melibatkan perubahan terma-terma yang dicadangkan dengan menambah baik dari segi kandungan antaranya isu perubatan serta luahan isi hati Muhammad Yasin,” katanya.