Pakar psikiatri dibebaskan kes ganggu bekas pesakit

in Berita Semasa by

Dr Gurdeep Singh (kanan) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada Rabu, atas pertuduhan mengganggu bekas pesakitnya, empat tahun lalu.

PETALING JAYA – Seorang pakar psikiatri dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan mengganggu bekas pesakitnya dengan menyebut perkataan lucah, empat tahun lalu.

Majistret Nurshahira Abdul Salim memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Dr Gurdeep Singh Narain Singh di akhir kes pendakwaan.

“Selepas mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan meneliti semua eksibit yang dikemukakan, mahkamah mendapati bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Oleh itu, Dr Gurdeep Singh, kamu dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk bela diri,” katanya.

Pada 24 Januari 2020 lalu, Dr Gurdeep mengaku tidak bersalah di mahkamah ini, atas satu mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 26 tahun dengan menyebut perkataan lucah untuk didengari mangsa di sebuah hospital swasta di Kota Damansara pada jam 4.30 petang, 12 Februari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding pada Rabu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad Mohamad Faiz, manakala Dr Gurdeep Singh diwakili peguam, Datuk Mohd Haaziq Pillay.

Hadir sama dalam kes ini ialah peguam pemerhati bagi pihak pengadu, Francis Pereira.

Pada perbicaraan yang bermula pertengahan 2020, seramai sembilan saksi pendakwaan termasuk mangsa dipanggil memberi keterangan.