Penduduk risau rumah rosak, dinding retak

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Mansor menunjukkan dinding rumahnya di Kampung Tengkera Pantai Dua mengalami kerosakan teruk didakwa berpunca daripasa projek pembinaan tersebut.Fadzlon menunjukkan antara bahagian dinding rumahnya yang

MELAKA – Seramai 300 penduduk di Kampung Tengkera Pantai Satu dan Kampung Tengkera Pantai Dua di sini, resah apabila dinding rumah mereka retak dan mengalami kerosakan didakwa berpunca daripada projek pembinaan pangsapuri berdekatan kampung itu.

Situasi itu didakwa bukan baharu namun telah berlarutan sejak tahun 2019 hingga menyebabkan penduduk rasa tidak selamat untuk mendiami rumah masing-masing.

Penduduk, Mansor Ayer, 65, berkata, rumahnya paling teruk terjejas apabila lantai rumah dan longkang mengalami kerosakan teruk.

Menurutnya, lebih membimbangkan pernah berlaku insiden kayu dari projek pembinaan terbabit terjatuh dan menghempap bumbung rumah sehingga mengalami kerosakan.

Katanya, selain dia dan isteri Fadzlon Abd Raman, 60, rumah itu turut didiami bersama empat anak dan cucu serta ibunya yang berusia 94 tahun.

**media[2053170]**

“Nasib kayu itu tidak kena ahli keluarga tapi kerosakan bumbung rumah terpaksa kami tanggung.

“Beberapa kali aduan dibuat termasuk kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tapi sehingga kini belum ada wakil pihak itu yang datang melihat,” katanya.

Tambahnya, kerosakan serta kerugian yang dialami dianggarkan berjumlah RM230,000 namun pihak pemaju bercadang untuk memberikan pampasan sebanyak RM90,000 sahaja

Dia menganggap jumlah itu tidak berbaloi.

“Kerugian saya alami lebih banyak selain gangguan bunyi kerana projek masih berjalan sehingga lewat malam,” katanya lagi.

Pesara guru, Zabariah Baba, 60, mendakwa siling di bahagian depan rumahnya telah beberapa kali jatuh disebabkan kerja-kerja cerucuk yang dilakukan selain bumbung rumah juga bocor.

Ujarnya, rumah atas tanah pusaka yang kini didiami anak serta menantunya itu juga tidak terkecuali mengalami kerosakan dan didakwa berlaku pergerakan tanah berpunca dari projek perumahan bertingkat tersebut.

“Minta kerajaan ambil tindakan segera dan saya mahu kerosakan yang dialami ini diberikan ganti rugi serta pampasan.

“Pemaju perlu lebih bertanggungjawab kerana menjalankan projek berdekatan rumah penduduk yang telah lama mendiami kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tengkera, Harun Ali berkata, telah menerima lebih 10 aduan berhubung masalah yang melanda penduduk kampung itu dan isu itu juga telah dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) pada Selasa.

Menurutnya, akan membantu penduduk untuk mendapatkan ganti rugi kerosakan yang dialami.

“Kita di JPKK akan bincang dengan pemaju dan selesaikan masalah itu,” katanya.