Penerbangan seluruh AS terpaksa ditangguhkan

in Global by

Rumah Putih percaya insiden itu tiada kaitan dengan serangan siber. – Foto Agensi

NEW YORK – Ratusan penerbangan domestik di seluruh Amerika Syarikat (AS) terpaksa ditangguhkan pada Rabu kerana masalah pada sistem kawalan penerbangan yang memberi amaran kepada juruterbang tentang potensi bahaya di laluan pesawat.

Susulan insiden itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dilaporkan berhempas-pulas untuk mengatasi gangguan sistem tersebut.

“Kami sedang berusaha untuk memulihkan sistem notis kepada misi udara. Beberapa fungsi telah kembali seperti biasa walaupun operasi Sistem Ruang Udara Kebangsaan kekal terhad,” ujar FAA dalam satu kenyataan.

Langkah penangguhan itu melibatkan lebih 760 penerbangan masuk dan keluar dari Washington.

“FAA turut mengarahkan syarikat penerbangan supaya menghentikan sementara kesemua pelepasan domestik bagi membolehkan mereka mengesahkan integriti penerbangan dan maklumat keselamatan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Rumah Putih memaklumkan siasatan awal mendapati insiden itu tiada kaitan dengan serangan siber.

Setiausaha Akhbar Presiden Joe Biden mengesahkan beliau juga telah mengarahkan siasatan penuh dilancarkan untuk mengenal pasti punca sebenar masalah itu.