Perangai tak bertamadun rampas kerusi penonton lain di stadium

in Pojok by

Stadium Nasional Bukit Jalil – Foto 123RF

MERAK Jalanan masih tidak faham dengan perangai tak bertamadun segelintir penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menonton aksi skuad Harimau Malaya menentang Thailand baru-baru ini.

Setiap tempat duduk ada nombor. Maknanya setiap tiket yang dibeli ada tempat duduk sendiri.

Peringatan juga diberikan: Penyokong perlu duduk di tempat yang betul mengikut seksyen yang tertera di tiket masing-masing.

Bagaimanapun, peringatan tersebut tidak dipedulikan. Individu yang tidak bertamadun itu sewenang-wenangnya merampas tempat duduk penonton lain tanpa langsung ada perasaan bersalah.

Memanglah kedudukan seat itu tempat tersebut pemandangannya cukup cantik untuk melihat aksi permainan bola sepak di tengah padang.

Apa nak buat, tempat pun sudah dicuri. Penyokong lain pula bersorak umpama menghalalkan tindakan merampas hak milik orang lain sama seperti rakaman video tular di media sosial.

Malah, ada yang mengatakan kepada pemilik sebenar kerusi itu: “Baru first time ke masuk stadium?” Cukup memalukan!

Teringat Merak Jalanan menonton pasukan kelab bola sepak di Thailand beraksi di Stadium Rajamangala.

Setiap penyokong atau penonton wajib duduk di tempat mengikut nombor pada tiket.

Sedangkan di Malaysia, tatkala semuanya mahukan pembaharuan atau revolusi dalam arena bola sepak negara tetapi maaf cakap, tingkah laku anda semua masih di tahap lama.

Apa yang Merak Jalanan cuba sampaikan di sini, ubahlah mentaliti kita semua. Kita sudah masuk tahun 2023 dan sepatutnya anda perlu lebih berdisiplin.

Cuba bayangkan anda membeli tiket wayang dengan tempat duduk di bahagian atas tetapi sudah ada orang duduk dan berkata; Saya datang lebih awal, awak cari seat lain!

Ayat yang sepatutnya anda ucap ketika itu ialah: “Baru first time ke masuk panggung?”

Jadi, ubahlah mentaliti buruk itu.