'Ramai doakan anak saya'

in Edisi by

Adi Saifullizam menunjukkan peralatan yang digunakan untuk tidur di dalam kereta Proton Satria tersebut ketika ditemui di HRPB pada Rabu.

IPOH – Tindakan seorang bapa yang sanggup tinggal sementara di dalam kereta Proton Satria demi anaknya berusia lapan tahun yang menghidap tumor otak meraih perhatian rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan tanpa henti.

Adi Saifullizam Abdul Sani, 40, berkata, selepas gambar yang dikongsikan di dalam kumpulan sembang tular, ramai pihak memberikan kata-kata semangat dan mendoakan agar anaknya, Muhammad Afeef Mikail, 8, kembali sihat.

Dia sendiri tidak menyangka sepantas itu maklumat tular kerana perkongsian yang dibuat hanyalah untuk rakan-rakan dalam kumpulan berkenaan mendoakan kesembuhan anaknya dan bukan untuk meraih simpati seluruh rakyat.

“Bagusnya rakyat Malaysia ini, mereka memang prihatin tentang permasalahan apa yang berlaku di kalangan kita. Saya tak putus-putus dapat ucapan mendoakan kesejahteraan anak saya. Ada juga yang bagi sumbangan untuk saya di sini.

“Saya ucapkan terima kasih yang berdoa kesihatan dan kesembuhan anak saya. Mana yang telah mendermakan tak kiralah wang tunai atau makanan kepada saya, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak.

“Tak terbalas jasa semua sebab yang menderma ini pun ada di kalangan Muslim dan bukan Muslim. Tadi ada sahabat dari Pulau Pinang datang hulurkan sumbangan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Rabu.

Menurut Adi Saifullizam, pihak pengurusan Masjid Muhibbuddin Shah telah menghubunginya menawarkan tempat penginapan memandangkan ada pihak yang mahu menanggung perbelanjaan sewa sepanjang tempoh berada di hospital berkenaan.

Adi Saifullizam berkata, anak bongsunya itu disahkan menghidap tumor oleh pihak hospital selepas pada asalnya hanya terdapat bengkak pada bahagian mata, namun kaedah dan kos rawatan belum diketahui sepenuhnya ketika ini.

“Isteri saya mula-mula macam susahlah nak terima sebab sakit tu bukan sudah lama tapi tiba-tiba muncul. Dalam satu hari saja dia (Muhammad Afeef) dapat semua sekali, itu jadi macam terkejut jugalah.

“Saya sendiri terkejut juga sebab dia sebelum ini aktif saja. Walaupun ada yang kata ini semua disebabkan vaksin, tapi saya tak percayalah sebab anak saya yang lain okey sahaja. Saya pun tak nak salahkan mana-mana, anggap itu rezeki saya yang terima,” katanya.

Dia yang tinggal di Felda Trolak Utara reda dengan ujian yang diberikan walaupun berat untuk menerima keadaan itu dan akan mencari rawatan terbaik untuk memastikan anaknya terus sembuh.

Dua lagi anaknya, Dhia Irdina, 15, dan Muhammad Aqeef Firdaus, 12, yang tinggal sementara dengan ibu saudara sudah mengetahui keadaan Muhammad Afeef.

“Kekuatan saya datang daripada anak saya yang ada di rumah, isteri saya dan juga anak yang sakit ini. Kalau kita lemah, dia lagilah teruk. Memang saya menangis tapi tidak tunjuk depan anak, saya lari ke belakang.

“Sebab itulah, saya ambil keputusan untuk duduk di kereta, saya seorang-seorang dan kalau saya menangis pun orang tak nampak,” katanya.

Dalam pada itu, Adi Saifullizam mahu seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan anaknya kembali sihat seperti sedia kala dan jika berkemampuan selepas ini, dia akan membantu mereka yang memerlukan.