Situasi menang-menang atasi isu telur ayam

in Lidah Pengarang by

Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai lawatan Mohamad ke Tamil Nadu, India bagi melihat sendiri proses pengeluaran telur ayam yang dieskport ke Malaysia hujung minggu lalu.

ISU melibatkan telur ayam import dari India bagi menambahkan lagi bekalan telur ayam tempatan di pasaran ketika ini masih hangat diperkatakan.

Keraguan terhadap telur ayam import itu juga masih dipersoalkan sehingga memaksa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu meninjau sendiri proses pengeluaran telur ayam yang dieksport itu di Namakkal, Tamil Nadu, India.

Tinjauan Mohamad itu bagaimanapun mendapat reaksi kurang senang sama ada dalam kalangan pemain industri mahupun pemimpin politik.

Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong misalnya mengatakan, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu tidak perlu pergi ke India bagi menangani masalah bekalan telur di negara ini.

Tegas beliau, menteri berkenaan perlu mengutamakan penternak tempatan dan tidak mempunyai keperluan menjelajah jauh ke India untuk meninjau ladang telur di negara tersebut.

Ketika ini kerajaan telah menetapkan harga siling runcit telur ayam bagi gred A pada 45 sen/biji, gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum telur adalah berbeza mengikut zon serta daerah.

Telur import dari India dijual pada harga 50 sen sebiji, lebih mahal daripada telur gred A walaupun saiznya lebih kecil daripada gred C tempatan.

Penetapan harga kawalan menyebabkan bukan hanya telur, malah gula putih, minyak masak dalam peket dan tepung selalu berlaku kekurangan di pasaran.

Golongan peniaga juga berpendapat, kerajaan harus menilai semula mekanisme kawalan harga yang sudah ketinggalan zaman.

Mengambil kira sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada minggu depan dan Hari Raya Aidilfitri pada April nanti, pastinya isu kekurangan bekalan telur akan terus berlaku sekiranya isu pokok masih tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan dengan segera.

Justeru, kerajaan melalui kementerian berkaitan perlu memikirkan langkah-langkah terbaik melibatkan solusi menang-menang iaitu mengambil kira kos pengeluaran pemain industri.

Paling mustahak adalah tidak membebankan pengguna ketika kos sara hidup semakin meningkat pada hari ini.