Ten Hag idam tamat kemarau trofi United

in Sukan by

Rashford (kanan) meledak dua gol untuk membantu pasukan mara ke separuh akhir Piala Liga.

PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag meletakkan sasaran untuk menamatkan kemarau trofi enam tahun Manchester United selepas menewaskan Charlton Athletic 3-0 pada aksi suku akhir Piala Liga pada Selasa.

Dua gol Marcus Rashford dan satu gol daripada Antony membolehkan United mara ke saingan separuh akhir.

“Empat terakhir (separuh akhir) tiada apa-apa. Ia hanya mengenai kemenangan. Tetapi anda perlu mengharungi satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Kami akan lihat siapa yang akan kami lawan di peringkat separuh akhir dan kemudian kami akan membuat persediaan yang baik,” katanya.

The Red Devils belum memenangi trofi utama sejak bekas pengendali pasukan itu, Jose Mourinho membantu United menjulang Piala Liga dan Liga Europa pada 2017.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Charlton itu, Ten Hag menyifatkan pasukannya terlepas banyak peluang keemasan untuk memenangi perlawanan itu lebih awal.

“Saya cukup gembira. Kami memulakan permainan sangat baik dengan tenaga yang baik serta fokus.

“Kami mencipta peluang dan kemudian kami membuat gol cemerlang. Ia gol pasukan, tetapi penyudah daripada Antony adalah hebat.

“Mereka meletakkan penyerang lain tetapi saya fikir kami tidak membenarkan mereka mencipta peluang. Selepas memasukkan Rashford pada minit ke-60 baru kami berjaya menambah gol. Kami sepatutnya menamatkan perlawanan ini lebih awal,” katanya.