Tular rakaman video di bilik persalinan butik terkenal

in Berita Semasa by

Tangkap layar rakaman kamera tersembunyi di sebuah pusat membeli-belah dipercayai di Kuala Lumpur.

SHAH ALAM – Beberapa rakaman video di bilik persalinan sebuah butik di ibu negara tular di media sosial, sejak Selasa.

Video rakaman tersebut difahamkan dijual kepada orang awam di sebuah aplikasi dan turut dipromosi secara meluas di akaun media sosial.

Perkara tersebut dibongkarkan seorang pengguna Twitter dikenali @meleisgw mendakwa kejadian tersebut berlaku di sebuah butik di Kuala Lumpur.

“Salah seorang mangsa dalam video dah mesej saya. Dia mengesahkan kejadian berlaku di butik terkemuka di Kuala Lumpur pada Oktober tahun lalu.

“Dia ada membeli baju dan ada resit serta gambarnya memakai baju sama dalam video tersebut,” tulisnya dalam satu ciapan.

Pengguna Twitter itu berkata, isu yang dibangkitkan kenapa ada kamera tersorok di situ dan boleh dijual beli.

“Saya dah menyarankan individu itu untuk buat laporan, saya menyeru jika anda mangsa dalam video ini tolong ‘reach’ saya atau terus membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian di ruangan komen mendapati ramai pengguna menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat isu tersebut selain menyelar tindakan pihak yang meletakkan kamera tersembunyi berkenaan.

“Saya berharap polis dapat kesan pelaku secepat mungkin ini melibatkan maruah dan aib,” komen seorang netizen.

Pada Rabu, media melaporkan polis telah menerima laporan berkaitan video tular yang memaparkan rakaman daripada kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat membeli-belah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan tersebut pada jam 4.38 petang, Isnin.

“Laporan dibuat oleh pengurus kawalan keselamatan sebuah premis di Jalan Imbi, kita telah menjalankan siasatan di premis pengadu dan didapati kejadian bukan berlaku di situ.

“Siasatan awal sedang dijalankan bagi mengenal pasti tarikh dan lokasi kejadian tersebut,” katanya.