Tuntutan palsu Penjana Kerjaya 2.0: Tiga lagi individu didakwa

in Berita Semasa by

KUALA LUMPUR – Tiga lagi individu didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM123,100.

Ini menjadikan seramai 10 individu termasuk ketua pegawai eksekutif dan pengarah syarikat telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan tersebut membabitkan jumlah keseluruhan RM818,260.

Prosiding pada Rabu, ejen insurans, Isa Mohd Ismail, 28, dan suri rumah Mazlina Ali, 45, mengaku tidak bersalah masing-masing atas satu pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Isa dan Mazlina masing-masing didakwa telah memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Perusahaan Isa Legacy dan Perusahaan Aida Hani Enterprise bertarikh 29 Jun 2021 dan 9 Mac 2021 melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM54,600.

Mereka dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan dokumen tersebut yang mengandungi pernyataan palsu tentang borang pengesahan itu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja dua syarikat berkenaan.

Isa didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perkeso, Menara Perkeso di Putrajaya pada 29 Jun 2021 manakala Mazlina di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak pada 9 Mac 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Yasri Yahya memohon Isa dikenakan jaminan RM20,000 manakala Mazlina RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Lokman Zainal mewakili Isa memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang baru berkahwin hanya bergantung kepada komisen manakala Mazlina yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana dia tidak bekerja, diisytihar muflis serta suami bekerja sebagai pembantu jualan di pasar borong.

Azura membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan masing-masing perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka dan Kuala Lumpur dan tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes ditetapkan pada 14 Februari ini.

Di hadapan Hakim Rozina Ayob dan Hakim Suzana Hussin, tukang gunting rambut Mohamad Mohamed Amin, 31, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan sama melibatkan jumlah RM68,500 dan syarikat berlainan iaitu Perusahaan Mikel Enterprise dan Perusahaan Translimit Industries.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Menara Perkeso, Putrajaya dan di Pejabat Perkeso di sini, pada 25 Mac 2021 dan 29 Mei 2021. Pertuduhan juga mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pendakwaan dikendalikan TPR SPRM Nurul Atiqah Alias dan Siti Amirah Muhamed Ali manakala Mohamad tidak diwakili peguam.

Kedua-dua hakim itu membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM di sini, setiap bulan sehingga kes selesai serta sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Februari ini. – Bernama