Tuntutan palsu RM20.3 juta: Pemilik, pengarah syarikat direman

in Berita Semasa by

Dua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini bagi mendapatkan perintah reman pada Rabu.

ALOR SETAR – Seorang pemilik dan pengarah syarikat direman empat hari bagi membantu siasatan membabitkan tuntutan palsu bernilai RM20.3 juta kira-kira lapan tahun lalu.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar di sini pada Rabu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum itu, kedua-dua suspek tiba di mahkamah pada jam 10.03 pagi dengan berpakaian lokap berwarna jingga dan tangan bergari.

Pada Selasa, pemilik dan pengarah syarikat terbabit ditahan secara berasingan selepas mereka disyaki membuat tuntuan palsu berjumlah RM20.3 juta.

Lelaki berusia 51 tahun yang juga pengarah sebuah syarikat ditahan di Pejabat SPRM Kedah pada jam 1 tengah hari.

Seorang lagi lelaki yang juga pemilik sebuah syarikat ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Simpang Renggam, Johor, pada jam 3 petang pada hari sama.

Kedua-dua suspek ditahan hasil maklumat mengatakan beberapa syarikat bersubahat dalam mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM20.3 juta yang

dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 2015.

Tuntutan itu membabitkan bayaran insentif Projek Penternakan Lembu Tenusu di bawah Kluster Tenusu Entry Point Project 13 (EPP 13)-Economy Transformation Plan (ETP).

Bagaimanapun tiada bekalan dibuat bagi projek terbabit dan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih dilakukan dengan proses mengesan lebih ramai saksi.