Warga Myanmar maut digilis kren

in Berita Semasa by

Mangsa maut manakala motosikalnya remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Krai pada Rabu. – Foto ihsan PDRM

KOTA BHARU – Seorang lelaki warga Myanmar maut digilis kren dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kuala Krai di sini pada jam 8.50 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, Mohamad Rofik Abdul Sabor, 28, yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah sebuah masjid ke stesen minyak di Kadok.

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, mangsa memotong kren yang sedang bergerak perlahan melalui bahu kiri jalan.

“Mangsa kemudian terjatuh di sisi kanan jalan yang rosak dan licin sebelum digilis kren terbabit,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mohd Rosdi memberitahu, mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Tambahnya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat sementara pemandu kren tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.