APM wajar dipertimbang ke skim perkhidmatan lebih kompetitif

in Nasional by

Armizan (tiga dari kiri) berbincang bersama Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed (kanan) ketika mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat APM pada Khamis. – Foto Bernama

KAJANG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) wajar dipertimbangkan untuk mempunyai skim perkhidmatan yang lebih kompetitif dalam perkhidmatan awam bagi melonjakkan profesionalisme anggota agensi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, wujud keperluan bagi APM, yang memiliki keanggotaan seramai 10,500 orang mempunyai pegawai melalui skim perkhidmatan kerajaan sama ada penjawatan tetap atau kontrak di peringkat pusat, daerah dan negeri.

“Ini disebabkan, pelaksanaan skim penjawatan ini menjadi tonggak (perkhidmatan) secara sepenuh masa sebab sesuatu bencana itu hakikatnya adalah di luar jangkaan. Laporan Ekonomi Dunia baru-baru ini menyatakan antara 10 ancaman yang digariskan dalam dekad ini, dua daripadanya melibatkan cuaca ekstrem dan kegagalan perubahan iklim, dan ini merupakan ancaman global yang memerlukan kita meningkatkan kesiapsiagaan dalam pengurusan bencana.

“Itu sebabnya kita memerlukan (skim perkhidmatan) dan kita telah mengadakan perbincangan awal dengan agensi pusat, Jabatan Perkhidmatan Awam supaya diberi tambahan skim perkhidmatan kepada APM termasuk penambahan pegawai tetap dan kontrak agar menjadi tonggak kefungsian agensi ini di seluruh peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat APM, di Sungai Merab, di sini pada Khamis.

Armizan berkata, APM yang menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa melalui International Civil Defense Organization di Geneva pada 2010, sewajarnya dipertimbangkan untuk mempunyai skim perkhidmatan pegawai dan kakitangan yang lebih kompetetif.

Menurutnya, keutamaan perlu diberikan bagi penjawatan kontrak di peringkat daerah kerana agensi itu merupakan urus setia bagi pengurusan bencana dan bertugas 24 jam tanpa henti untuk memantau sebarang ancaman serta kecemasan sepanjang masa.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, APM akan memberi fokus kepada empat perkara bagi menggerakkan strategi dan melonjakkan pencapaiannya tahun ini termasuk merakyatkan peranan agensi itu.

Katanya, fokus lain ialah memberi keutamaan kepada strategi basic to basic dengan menyemarakkan kesedaran dan kefahaman awam terhadap fungsi APM, memperkasa fungsi pengurusan bencananya di peringkat negeri dan daerah melalui Program Kampung Siaga.

Beliau juga berkata, APM akan mempertingkatkan kemahiran dan pemilikan aset dengan melonjakkan keupayaan Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) yang ditubuhkan bagi melaksanakan tugas dalam operasi mencari dan menyelamat secara lebih sistematik serta efisien.

“Melalui peruntukan kerajaan, APM menerima sebanyak 100 ambulans pacuan empat roda dengan 11 unit disampaikan tahun lepas, 30 unit tahun ini, manakala selebihnya tahun hadapan untuk kegunaan di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya. – Bernama