Hajiji langgar persetujuan, gagal bentuk Kerajaan Perpaduan di Sabah

in Politik by

Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa majlis angkat sumpah ahli jemaah menteri yang berlangsung pada Rabu di Istana Seri Kinabalu tidak menggambarkan ia sebagai Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya beliau berkata, tindakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu telah membelakangi saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan melanggar persetujuan serta kesepakatan yang telah dicapai.

“Parti Warisan telah memberi sokongan penuh kepada saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari 2023 untuk pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan di Sabah.

“Saranan itu juga mendapat persetujuan dan sokongan daripada UMNO dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang turut hadir pada pertemuan itu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu turut berkata, penubuhan secepat mungkin sebuah Jawatankuasa Khas juga ditetapkan bagi merungkai butiran berkaitan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah yang bertujuan untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri ini.

“Namun, semalam majlis angkat sumpah ahli jemaah menteri baharu Sabah telah berlangsung walaupun ia tidak menggambarkan satu Kerajaan Perpaduan.

“Sekali gus, tindakan Hajiji telah membelakangi saranan Perdana Menteri dan melanggar persetujuan dan kesepakatan yang telah dicapai,” katanya.

Katanya lagi, kemelut politik di Sabah akan dapat diatasi dengan adanya persetujuan dan kesepakatan untuk menubuh satu kerajaan perpaduan di Sabah yang terdiri daripada semua parti yang mengganggotai kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Ini akan dapat mengatasi kemelut politik di Sabah dan seterusnya memantapkan pemerintahan negara,” katanya.

Sebelum itu, satu rombakan kabinet Sabah yang baharu telah dilakukan di mana Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar digugurkan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya.

Bagi mengisi kekosongan itu, ADUN Tanjung Keramat daripada UMNO, Datuk Ir Shahelmey Yahya dilantik memegang kedua-dua portfolio terbabit selain penyertaan dua ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah iaitu Datuk Christina Liew dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian.

Bagaimanapun, tiada seorang pun ADUN daripada Warisan disenaraikan menganggotai barisan kabinet kerajaan berkenaan walaupun parti itu dan UMNO mendakwa bahawa Perdana Menteri menyarankan Hajiji membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan yang disertai oleh semua parti di Sabah.