Hapus atau kekal subsidi haji

in Nasional by

Umat Islam perlu diberi kefahaman yang betul mengenai syariat untuk menunaikan haji di Tanah Suci.Nik Mohd HasyudeenKerajaan Arab Saudi menetapkan kuota seramai 31,600 jemaah haji Malaysia pada tahun ini. – Foto Bernama

SHAH ALAM – Kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) perlu bermuzakarah dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam menetapkan kaedah terbaik berhubung ibadah haji di Tanah Suci.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, saranan itu sebagai salah satu kaedah penyelesaian menyeluruh membabitkan lembaga tabungan tersebut dapat dilakukan.

Menurutnya, dengan adanya muzakarah atau perbincangan bersama pelbagai pihak termasuk agamawan dan ilmuwan, ia berupaya mengelak wujudnya ‘isu politik’ apabila sesuatu keputusan ditetapkan termasuk tidak lagi menyediakan subsidi bersasar untuk kos mengerjakan haji.

Tegasnya, penyertaan pelbagai pihak dalam perbincangan secara tidak langsung menetapkan kembali matlamat dan hala tuju institusi kewangan Islam terbesar di Malaysia berdepan pelbagai kekangan ketika ini.

“(Kerajaan dan TH) kena bincang balik dengan pelbagai pihak terutama agamawan dan ilmuwan untuk kita tetapkan matlamat asal TH.

“Dahulu, orang menabung (dalam TH) untuk menunaikan haji dan apabila cukup duit tabungan, (baru) boleh tunaikan haji.

“Berbeza (situasi) sekarang, duit dah cukup tetapi kena menunggu lama sehingga ada melebihi jangka hajat disebabkan terlalu ramai memasuki barisan menunggu kerana kita tiada kaedah atau garis panduan.

“Sebagai contoh, ketika ini kanak-kanak yang belum baligh pun sudah boleh mendaftar (menunaikan haji) sedangkan mereka belum wajib. Samalah juga dengan pemberian subsidi kepada jemaah haji.

“Nenek moyang kita dahulu tidak ada pun subsidi, mereka pergi haji apabila duit mencukupi tetapi apa yang berlaku hari ini berbeza.

“Jadi, di sinilah kita kena faham, menunaikan haji itu wajib ke atas mereka yang mampu. Ini kena jelas,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau mengulas cadangan kepada kerajaan untuk menyelesaikan beban kos kewangan yang tinggi susulan pemberian subsidi bagi kos menunaikan haji.

Nik Mohd Hasyudeen berkata, umat Islam perlu diberi kefahaman yang betul dan atas sebab itulah, muzakarah perlu dilaksanakan.

**media[2054197]**

“Sekarang, isu utamanya bukan hapuskan subsidi atau kekalkan tetapi perlunya kaedah atau garis panduan yang betul mengikut syariat Islam.

“Sebab itu, kita cadangan satu muzakarah melibatkan semua pihak berkepentingan untuk buat ketetapan. Kalau kerajaan buat keputusan ia akan dianggap tindakan politik,” katanya.

Tambahnya, ketika ini kerajaan perlu menanggung kos mengerjakan haji lebih sekali ganda memandangkan jemaah hanya membayar RM13,000 berbanding kos asal RM28,000 susulan pelaksanaan subsidi.

Konsep istita’ah kurangkan beban kos TH

Sementara itu, konsep istita’ah atau kemampuan menunaikan haji perlu dipertimbangkan bagi mengurangkan beban kos yang ditanggung oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menjelaskan, kemampuan dari segi menyediakan kewangan bagi perjalanan dan perbelanjaan di Tanah Suci juga merupakan salah satu perkara dalam konsep istita’ah.

“Ketika ini, TH perlu menampung peningkatan jumlah perbelanjaan jemaah haji, apatah lagi setelah kerajaan Arab Saudi meluluskan seramai 31,600 jemaah haji pada tahun ini.

“Setiap umat Islam perlu benar-benar memahami konsep istita’ah, yang mana mereka boleh menunaikan haji apabila berada dalam keadaan mampu sahaja,” katanya.

Ujar Wan Salim, pemberian subsidi bersasar boleh dilaksanakan TH sebagai langkah menampung perbelanjaan jumlah jemaah haji yang semakin meningkat.

Tegasnya, individu yang mampu dari sudut kewangan seharusnya menggunakan duit sendiri.

“Subsidi TH hanya boleh diberikan kepada golongan kurang mampu menyediakan kewangannya, manakala mereka yang kukuh kewangan, tidak perlu (diberi subsidi),” jelasnya.

**media[2054215]**

Mengulas mengenai konsep istita’ah, beliau berkata, ibadah haji diwajibkan ke atas umat Islam yang baligh, berakal, merdeka (bukan hamba abdi) dan berkemampuan atau beristita’ah.

Jelasnya, istita’ah bermaksud kemampuan dari sudut penyediaan perbelanjaan untuk pergi ke Tanah Suci, semasa berada di sana dan balik semula ke negara asal serta wang bagi menyara keluarga yang ditinggalkan.

“Konsep ini termasuk kemampuan fizikal, keamanan dalam perjalanan dan mempunyai kenderaan.

“Bagi wanita, diwajibkan ditemani suami atau mahram atau institusi tertentu yang dapat menjamin keselamatan dan kebajikannya ketika bertolak ke Tanah Suci sehingga dia pulang.

“Bagi seorang yang sakit atau lanjut usia dan tidak berupaya untuk pergi sendiri ke Tanah Suci, jika mampu dari segi kewangan, maka wajib mencari wakil,” ujarnya.