Isu motosikal kuasa tinggi: Teliti cadangan secara menyeluruh

in Nasional by

Laporan Sinar Harian pada Ahad lalu.Anthony pada sidang akhbar selepas melancarkan penerbangan tambahan ke Sabah dan Sarawak oleh Batik Air dan destinasi baharu ke Jepun di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat. Foto: Bernama

SEPANG – Kerajaan menerima segala cadangan yang dikemukakan termasuk daripada pakar berhubung hanya membenarkan mereka yang mempunyai lesen B penuh atau B Full untuk membeli motosikal berkuasa tinggi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua cadangan itu perlu dilihat dengan lebih komprehensif dan menyeluruh sebelum sesuatu perubahan atau dasar dibuat.

“Apabila kita hendak laksanakan sesuatu (perkara), mesti melihat kepada keseluruhannya. Sama ada kita kena laksanakan itu adakah ia praktikal, boleh dilaksanakan (atau) adakah ia boleh memberikan kesusahan pada orang ramai.

“Itu yang paling penting. Kita tak nak buat sesuatu dasar kalau ia menyusahkan keadaan dan orang ramai,” katanya ketika sidang akhbar Pelancaran Ganjaran Perjalanan Pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Khamis.

Sebelum ini, pakar keselamatan jalan raya, Profesor Madya Dr Law Teik Hua mencadangkan kepada kerajaan supaya menguatkuasakan peraturan baharu dengan hanya membenarkan mereka yang mempunyai lesen B penuh atau B Full untuk membeli motosikal berkuasa tinggi melebihi 250cc dan mendaftarkannya di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

**media[2054888]**

Katanya, langkah itu untuk mengelakkan insiden kemalangan melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang tidak mempunyai lesen penuh, berulang.

Teik Hua berkata, dengan cara itu dapat memastikan hanya mereka yang benar-benar terlatih dan mahir boleh menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Dalam pada itu, Anthony turut mengulas mengenai iklan di media sosial tentang boleh membeli kenderaan terutama motosikal walaupun tidak memiliki lesen.

“Ini dua perkara yang berlainan. Membeli motosikal dan memandu motosikal. Memandu motosikal anda perlu ada lesen. Membeli itu tak perlu.

“Kena faham bahawa sesuatu undang-undang itu mesti ada punca kuasanya. Di mana punca kuasa saya nak menghalang orang membeli motosikal atau membeli harta sendiri.

“Itu yang saya maksudkan apabila kita nak melaksanakan sesuatu ia perlu melihat kepada pelbagai aspek praktikal. Ada tak punca kuasa itu dalam undang-undang untuk Menteri Pengangkutan. Kalau tidak ada, bagaimana kita buat dan sebagainya,” jelasnya.